Seni Mural Geopark Langkawi: Instrumen penghubung alam, sejarah, dan komuniti.
LANGIT Pulau Lagenda petang itu ibarat balang raksaksa yang dipenuhi perahan limau mandarin yang ranum dan menggiurkan. Pecahan jingganya begitu pekat, asyik dan mengghairahkan setiap mata yang memandang, setiap jiwa yang mendambakan kedamaian. Berbahagialah warga Langkawi yang memiliki spot matahari terbenam (antara tercantik di Malaysia) bagi melawan hari-hari yang melelahkan.
Suasana yang nyaman dengan angin berpuput lembut, seolah merestui Jambatan Kuala Melaka yang telah menjalani proses makeover dengan penampilan baharu yang bergaya dan penuh keanggunan. Warga Lang Paradise kini boleh berbangga terdapat sebuah lagi daya pikat yang bakal menjadi tumpuan bukan sahaja kepada pelancong, malah warga tempatan.
“Hampir setiap minggu saya akan berbasikal bersama teman-teman. Setiap kali lalu di jambatan ini, kami akan berhenti dan merakam gambar. Permandangan sungai dan sunset dari atas jambatan ini memang sangat cantik. Dulu jambatan ini plain saja. Sekarang sudah berseri. Pasti ia akan jadi lokasi tumpuan selepas ini. Dan saya sendiri akan sebarkan pada kawan-kawan yang lain.”
Kata pegawai wanita dari Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang turut sama memeriahkan acara petang itu, dengan mata bercahaya.
Jambatan Kuala Melaka menerima sentuhan dari 12 artis tempatan yang terpilih menjayakan mural bertemakan Geopark Langkawi. Inisiatif ini digerakkan oleh Balai Seni Negara Langkawi dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), JKR Langkawi dan agensi-agensi tempatan sempena Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) 2025.

Lokasi ini dipilih kerana kedudukannya yang strategik sebagai laluan utama pelancong dan nadi kehidupan komuniti setempat, sekali gus memiliki potensi besar untuk diangkat sebagai ruang seni awam yang memperkayakan pengalaman budaya dan visual setiap pengunjung.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan, pada 19 Mei 2025. Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Haslina Abdul Hamid,; Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad; Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Langkawi Ir. Ts. Khairul Azlan Abdullah, serta pegawai-pegawai kanan, jabatan, dan agensi yang terlibat.
Khairul Firdaus menyatakan penghargaan kepada pihak LADA dan Balai Seni Negara Langkawi serta barisan seniman yang telah menjayakan projek ini. Pemilihan jambatan yang strategik di laluan utama menjadi penghubung masyarakat sebagai ruang riadah dan menghargai keindahan alam. Khairul Firdaus turut meninggalkan magis sentuhannya, dengan mengecat pada dinding jambatan sebagai gimik pelancaran.
Usaha ini bukan sekadar menceriakan ruang awam, malah menyerlahkan peranan seni sebagai pemelihara warisan budaya yang berharga dan sebagai pemangkin daya kreatif komuniti tempatan. Inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, di samping menyemarakkan semangat Tahun Melawat Kedah 2025 serta menyokong kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026. Ia adalah manifestasi sinergi antara keindahan seni, identiti bangsa, dan kemajuan negara.
Program yang bermula dari 7 Mei hingga 23 Mei 2025 ini menyaksikan transformasi menyeluruh terhadap Jambatan Sungai Kuala Melaka melalui penghasilan mural berskala besar yang mengetengahkan tema Geopark Langkawi. Program ini merangkumi beberapa fasa penting, termasuk kerja-kerja pembersihan, pengecatan, serta penghasilan mural.
Amerrudin pula meluahkan rasa bangga terhadap transformasi Jambatan Kuala Melaka yang mengangkat peranan seni dalam memacu aktiviti pelancongan negara. Jambatan–sebagai penghubung antara dua daratan, kini turut menjadi simbol hubungan antara masyarakat dan dunia seni. Menerusi sentuhan kreatif, seni membuka landskap imaginasi masyarakat dan menyemai benih apresiasi yang kian mekar. Balai Seni Negara menyokong penuh inisiatif dan perancangan sebegini demi memperkaya pengalaman budaya rakyat dan pelancong.

12 artis seni visual yang terlibat iaitu Dhiyaul Mohamad Ashraf Dawari, Muhammad Firdaus Musa, Muhammad Riduan Raja Yunus, Muhammad Syafiq Mohd Adib, Muhammad Izwan Rahimi, Norafandi Rosli, Hardiana Hidayah Azni, Abdul Qoyyum Mohd Nadzri, Mohammed Nabil Sohaini, Fauzan Adzima Pangestu Padzli, Mohamad Fakhri Mohd Salleh dan Muhammad Izharuddin Mohd Salleh. Barisan karyawan ini dipilih berdasarkan pengalaman dan potensi karya-karya mereka sebelum ini.
Hardiana Hidayah, satu-satunya artis wanita yang menerajui penghasilan mural (bahagian atas) jambatan ini, mengakui bahawa faktor cuaca yang tidak menentu memberikan cabaran yang besar kepada pasukan mereka.
“Kami bekerja 8-12 jam sehari. Tidak kira hujan, ribut atau panas terik. Kerja menyiapkan mural ini 100 peratus menggunakan skylift. Apatah lagi jambatan ini berada di laluan yang sibuk. Begitu mencabar, berisiko namun sebuah pengalaman yang mengesankan.”
Langkawi mendapat pengiktirafan sebagai Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark pada 2007 kerana keindahan alam dan nilai warisan geologi bertaraf antarabangsa. Geopark merupakan konsep pembangunan yang memberikan perhatian kepada keseimbangan tiga komponen utama iaitu kepentingan pemuliharaan sumber asli (khususnya sumber geowarisan), pembangunan infrastruktur untuk pelancongan dan aktiviti sosioekonomi yang menguntungkan masyarakat setempat.
Justeru, keunikan mural yang menghiasi jambatan ini terletak pada latar flora dan fauna darat serta air, berinspirasikan tema Geopark Langkawi. Antara spesies tumbuhan dan haiwan yang ditampilkan termasuklah Periuk Kera, Orked Hutan, Biji Kopi, terumbu karang, Pink Humpback Dolphin, Burung Raja Udang, Kerapu Bara, Tupai dan Helang. Teknik yang digunakan dalam penghasilan karya seni ini ialah 95% menerusi semburan cat dan 5% menggunakan roller paint.

Para seniman yang terlibat turut menjalankan penyelidikan mendalam mengenai trilobite–fosil purba yang menjadi komponen penting dalam sejarah dan ekosistem Geopark Langkawi. Unsur-unsur ini kemudiannya diterjemahkan sebagai imejan visual yang menarik, sekali gus menjadi tarikan istimewa sepanjang laluan Jambatan Kuala Melaka.
Trilobite ialah haiwan laut zaman Paleozoik yang wujud dalam jumlah besar dengan kepelbagaian tinggi. Struktur badannya yang bersegmen dan keras membolehkan fosilnya terpelihara dengan baik, menjadikannya penanda fosil penting dalam sejarah geologi.
“Sebelum memulakan projek mural ini, kami sendiri belum pernah mendengar tentang trilobite. Kami melakukan penyelidikan dan mendalami kisah di sebalik makhluk purba ini. Begitu juga dengan ikan lumba-lumba–kebiasaannya kita membayangkan warnanya biru, namun rupa-rupanya ada spesis berwarna merah jambu. Penemuan-penemuan sebegini menjadi ruang pembelajaran yang bermakna buat kami,” ujar Dhiyaul Mohamad Ashraf Dawari, atau lebih dikenali sebagai Acap, yang mengetuai pasukan mural bagi bahagian bawah jambatan serta setiap penghadang jalan di kiri dan kanan laluan.
Dalam era kepesatan teknologi dan kecerdasan buatan yang kian dimanipulasi tanpa batas, seni yang lahir daripada sentuhan dan ilham manusia tetap teguh berdiri–relevan dan bernyawa dalam denyut kehidupan. Usaha mengembleng kekuatan insan yang unik, kreatif dan inovatif ini wajar sentiasa dibajai dengan sokongan dan kemudahan sewajarnya, agar tidak hanyut ditelan arus kemodenan. Peringatan ini perlu terus disemat dan dipertahankan, demi melahirkan generasi masa hadapan yang lebih ampuh, berjati diri, dan berakar menjunjung nilai kemanusiaan.
Mural Geopark Langkawi menjadi manifestasi nyata bahawa seni sentuhan manusia masih berperanan besar dalam membentuk naratif budaya dan pendidikan visual–meskipun dunia semakin dikuasai oleh kepintaran buatan dan arus digitalisasi. Ia bukan sekadar karya hiasan, tetapi medan ilmu, warisan, dan identiti yang menghubungkan generasi hari ini dengan alam serta sejarah yang mendalam. Inisiatif ini membuktikan bahawa dalam arus kemodenan, seni masih mampu berdiri megah–hidup, relevan dan memberi makna.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh Jean-René seniman dan jurugambar jalanan terkenal dari Perancis:Sebuah mural bukan hanya sekadar lukisan di dinding, ia adalah cerminan roh dan denyut nadi sebuah kota.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
Source : https://senimalaya.com/seni-mural-geopark-langkawi-instrumen-penghubung-alam-sejarah-dan-komuniti/