Kadar tempahan hotel di Langkawi perlahan sempena cuti sekolah – MAH Kedah/Perlis

LANGKAWI: Kadar tempahan hotel di Langkawi berada bawah 60 peratus menjelang musim cuti sekolah dan Hari Malaysia minggu hadapan.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah/Perlis, Eugene Dass, berkata kadar tempahan hotel di pulau itu kekal antara 56 hingga 60 peratus, sama seperti tahun lalu, tanpa sebarang peningkatan.
“Trend tempahan hotel sekitar Langkawi dalam tempoh lapan bulan lalu sangat perlahan dan tidak menunjukkan pertumbuhan, malah majoriti pelancong gemar membuat tempahan saat akhir.
“Hanya sebilangan kecil sahaja yang menempah lebih awal pada musim cuti, ini menunjukkan pelawat dalam dilema ketika memilih destinasi percutian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Eugene berkata, berdasarkan pengalaman lalu cuti sekolah jarang memberi kesan besar terhadap tempahan hotel di Langkawi, berbeza dengan musim perayaan atau penganjuran acara antarabangsa berskala besar.
“Tambahan pula, cuti penggal persekolahan minggu hadapan jatuh pada pertengahan bulan, penjawat awam belum dapat gaji menyebabkan kuasa berbelanja rakyat bagi percutian keluarga semakin terbatas.
“Isu logistik turut memburukkan keadaan, termasuk jadual feri yang tidak menentu dan kadar tambang penerbangan yang meningkat selain sambungan penerbangan terhad,” katanya.
Beliau berkata, ketiadaan tarikan baharu di Langkawi juga menjadi faktor pelancong memilih destinasi pelancongan ASEAN lain seperti Hat Yai, Thailand yang dianggap lebih ‘mesra bajet’.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkaitan industri pelancongan lebih agresif mempromosikan Langkawi menerusi kempen pemasaran bersepadu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pengusaha hotel di Langkawi sentiasa menanti kehadiran pelawat. Buatlah tempahan awal untuk menikmati harga lebih jimat kerana banyak hotel di pulau ini menawarkan penginapan selesa dengan kadar berpatutan,” katanya.
Bagaimanapun, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Kedah/Perlis melihat kelesuan industri pelancongan di Langkawi ketika ini, bukan persaingan secara langsung dengan Hat Yai.
Pengerusinya, P Subramaniam, berkata Hat Yai dan Langkawi tidak wajar dibandingkan secara terus kerana kedua-duanya menawarkan pengalaman berbeza umpama laut dan darat, masing-masing punya keindahan tersendiri.
Katanya, Hat Yai lebih menonjol dengan tarikan membeli-belah dan makanan, manakala Langkawi menampilkan alam semula jadi, pantai terpelihara, beli-belah bebas cukai serta resort mesra keluarga.
“Permintaan terhadap pakej pelancongan di Langkawi kekal positif, khususnya pada musim cuti sekolah dan hujung minggu panjang kerana produk pelancongan yang ditawarkan berbeza.
“Prospeknya juga positif, seiring peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa selepas adanya penerbangan terus berjadual IndiGo dari Bengaluru, India dan Flydubai dari Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya.
Namun, beliau menambah, tawaran pakej percutian mampu milik, rangkaian pengangkutan lebih baik, produk baharu serta kempen promosi giat akan terus mengekalkan daya tarikan Langkawi.
“Cabaran harga termasuk kos sewa kereta, penginapan dan makanan wajar ditangani sebaik mungkin oleh penggiat industri agar pengunjung mendapat nilai terbaik,” katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/09/1444709/kadar-tempahan-hotel-di-langkawi-perlahan-sempena-cuti-sekolah-mah