LTdL 2024 kembali ke Langkawi

 

Kuala Lumpur: Selepas mengesahkan tarikh perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 29 September hingga 6 Oktober di media sosial semalam, satu lagi khabar gembira buat peminat berbasikal ialah saingan tahun ini bakal kembali diadakan di pulau legenda, Langkawi.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2024, Emir Abd Jalal bahawa perlumbaan berstatus ProSeries (2.Pro) akan bermula di Langkawi dan bakal dijadikan peringkat pertama perlumbaan.

“Bagi peringkat sekarang kita masih lagi mengadakan tinjauan laluan untuk di bahagian semenanjung dengan terdapat beberapa pilihan. Bagaimanapun, kita tidak boleh mengumumkan sekarang negeri yang bakal dilalui oleh pelumba selepas memulakan perlumbaan di Langkawi,” katanya.

Ujarnya, setakat ini dalam peringkat cadangan terdapat dua pilihan untuk laluan bagi saingan 2024 dan hanya boleh mengesahkan perlumbaan akan bermula dari bahagian utara semenanjung.

“Dari segi bilangan peringkat perlumbaan memang kalau boleh hendak ditambah tapi berbalik kepada kos. Begitu juga dengan perlumbaan klasik atau 1.1, jika diadakan ia akan membabitkan nilai jumlah hadiah kemenangan yang baharu.

“Cuma kita mengharapkan tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu, bersempena dengan ulang tahun ke-50 Petronas iaitu penaja yang mengikat kontrak selama tiga tahun bermula tahun lalu,” kata Emir.

Tambahnya, perlumbaan mesti dianjurkan lebih luar biasa berikutan signifikasi nombor ulang tahun berkenaan dan mereka sedang berusaha agar sambutan kali ini lebih besar.

Ditanya mengenai perkembangan lain, Emir juga mengesahkan mereka sudah mula mengadakan perbincangan dengan pasukan berstatus WorldTeam dan ProTour untuk dijemput menyertai perlumbaan edisi ke-28 itu.

“InsyaAllah kami dalam proses mendapatkan pasukan bakal mengambil bahagian dan cuba mendapatkan tambahan dari WorldTeam. Kemungkinan besar EF Education-Easypost akan datang untuk mempertahankan kejuaraan (Jersi Kuning dan pasukan keseluruhan). Begitu juga dengan Astana Qazaqstan Team hadir seperti tahun lalu.”

Ditanya mengenai kehadiran Malaysia Pro Cycling (MPC), Emir berkata, mereka selaku penganjur juga mengharapkan pasukan baharu berstatus benua itu dapat mengambil bahagian pada edisi kali ini.

“Kami tidak pasti bagaimana urusan mereka dengan Kesatuan Berbasikal Duni (UCI) tetapi harapan kami agar ada dua pasukan benua dari Malaysia (termasuk Terengganu Cycling Team).

“Kita berharap MPC dapat menguruskan status mereka secepat mungkin agar boleh bersaing dan pelumba negara mampu menghadirkan sedikit cabaran buat jaguh luar negara,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2024/01/1053342/ltdl-2024-kembali-ke-langkawi

Share this post